Tuesday, July 1, 2008

PHD Dr.Anti Hadis

SEGELINTIR tokoh Islam amat terpengaruh dengan tulisan orientalis Barat seperti Goldzieher. Mengikut Dr. Mustafa as-Siba`i di dalam bukunya, as-Sunnah wa Makanatuha fit Tasyri al-Islami, kesan daripada pengaruh ini sebahagian daripada tokoh-tokoh Islam hari ini sanggup mengutuk tokoh ilmu hadis terkenal, Imam Zuhri, dan menganggap beliau sebagai orang yang banyak membuat hadis palsu.

Golongan ini kemudiannya mempertikaikan kebenaran beberapa orang sahabat nabi sekali gus mempersoalkan kebenaran hadis yang wujud pada hari ini.

Antara tokoh dari Mesir yang terpengaruh dengan tulisan-tulisan orien talis ini adalah Dr Ali Hasan Abdul Kadir, Toha Hussin, Dr. Ahmad Amin, Dr. Rasyad Khalifa dan Dr. Abu Rayyah.

Di Amerika Syarikat, gerakan anti-hadis dikembangkan oleh seorang individu yang dikenali sebagai Dr. Rasyad Khalifa. Dr. Rasyad Khalifa dilahirkan di Kafr el-Zayat, Mesir pada 19 November 1935.

Beliau mendapat ijazah pertama dari Universiti Ain Shams dan pada tahun 1959, beliau berhijrah ke Amerika dan mendapat ijazah Master dari Universiti Arizona State dalam bidang biokimia dan Ph.D dari Universiti California.

Beliau adalah penentang kuat hadis dan pernah mengatakan ``hadis dan sunah adalah omongan iblis''. Lebih daripada itu, beliau tidak mengiktiraf dua ayat terakhir daripada surah at-Taubah, iaitu ayat 128 dan 129 kerana menganggap ia ditokok tambah oleh penulis-penulis al-Quran sembilan tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau adalah imam di Masjid Tucson dan pernah mendakwa dirinya adalah nabi.

Beliau menjustifikasikan dakwaan ini dengan mengatakan ``beliau hanyalah nabi dan bukannya rasul'' dan menjadikan ayat 81 daripada surah Ali-Imran sebagai dalil.

Beliau mati dibunuh pada tahun 1990 dan para pengikutnya menyamakan kematiannya dengan kewafatan Nabi Isa a.s.

Mereka mempercayai rohnya diangkat ke langit sebelum kematiannya dan kepercayaan ini dimuatkan di dalam majalah Submitters Perspective keluaran Masjid Tucson terbitan nombor 64 pada bulan April 1990.

Di Malaysia, golongan anti-hadis diasaskan oleh Dr. Kassim Ahmad yang dilahirkan di Baling, dibantu oleh pengikutnya, Othman Ali.

Beliau terpengaruh dengan Dr. Rasyad Khalifa dan pada tahun 1985 telah mengembangkan kefahaman anti-hadis di Malaysia.

Dr. Kassim Ahmad pernah menulis buku yang bertajuk Hadis Satu Penilaian Semula, dan buku ini diharamkan oleh Pusat Islam.

Beliau kemudiannya cuba menubuhkan pertubuhan yang dikenali sebagai Jemaah al-Quran malaysia tetapi permohonannya ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Ajaran anti-hadis yang dibawa oleh Dr. Kassim Ahmad ini diharamkan mengikut keputusan Muzakarah Mufti-Mufti Negeri pada 6 September 1995.

Umat Islam perlu mengenali ciri-ciri ajaran sesat supaya tidak mudah terpengaruh dengannya. Mengikut majlis Ulama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura, ajaran sesat ialah ``sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau yang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut daripada ajaran Islam, sedangkan pada hakikatnya ia bertentangan dengan Islam yang berdasarkan al-Quran dan sunah serta bertentangan dengan ajaran Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Next > Antara peluang syaitan untuk menguasai anak Adam ialah melalui sifat kikir dan takut papa. Kedua-dua sifat ini menghalang seseorang dari berkorban harta dan tenaga untuk perjuangan di jalan Allah. Ia menghalang seseorang menghulurkan bantuan kepada orang yang susah. Malah ia melemahkan rasa simpati dan kesan sifat perkemanusiaan yang ada dalam jiwa.

Allah menerangkan : "Syaitan menjanjikan ( menakut-nakutkan ) kamu dengan kemiskinan ( risiko ) dan menyuruh kamu berbuat kejahatan ( kikir).(Akan tetapi ) Allah menjanjikan untuk kamu keampunan dan kurnia daripadanya, dan Allah Maha Luas ( kurniaNya) dan Maha Mengetahui." ( Surah Al - Baqarah : 268)